Friday, 19 July 2013

YUNANI

Latar Belakang

Tamadun Yunani berkembang di Semenanjung Greece dan pulau-pulau di sekitarnya yang dikelilingi oleh Laut Aegean dan Laut Mediterranean. Tamadun ini bermula dengan pembentukan petempatan manusia yang dikenali sebagai Negara kota atau polis. Negara kota terbentuk hasil gabungan beberapa buah kampong dan bandar pada sekitar tahun 1000-800SM. Terdapat banyak negara kota pada zaman Yunani dan setiap Negara kota mengandungi sebuah kota yang dikelilingi oleh kawasan pertanian dan di dalam kota terdapat pasar, kubu, kuil dan istana.
Walaupun terdapat banyak negara kota di Yunani tetapi yang paling menonjol ialah Athens, Sparta dan Corinth. Ketiga-tiga negara kota tersebut terletak berhampiran dengan Laut Mediterranean. Setiap negara kota memiliki corak pemerintahan dan undang-undang tersendiri selain turut memiliki beberapa tuhan. Masyarakat dalam setiap negara kota itu sentiasa bersatu padu, walaupun begitu, peperangan sering berlaku antara negara-negara kota tersebut.

Seni Bina
Acropolis – Pusat pentadbiran atau ibu negeri di Athens. Dalam acropolis terdapat binaan yang menarik seperti rumah berhala, teater, serta bangunan yang paling menarik, iaitu Parthenon.
Parthenon – Rummah berhala untuk Dewi Athena dan dibina pada zaman pemerintahan Pericles, iaitu pada tahun 421-409SM. Parthenon dibina untuk mengingati kejayaan membebaskan diri daripada kuasa Persia. Ukurannya ialah 69.5m x 30.88m.
Pantheon – Binaan berbentuk kubah yang terbesar di dunia, iaitu bergaris pusat 44m. Dibina pada zaman Maharaja Hadrian (117-138M). Fungsinya adalah sebagai tempat memuja dan menyimpan paying dewa dan tempat menjalankan kerja awam.

Sumbangan Tamadun Yunani
Tamadun Yunani telah mewariskan sistem pemerintahan berbentuk demokrasi. Dalam sistem demokrasi itu, rakyat terlibat dalam membuat keputusan politik. Rakyat terlibat secara langsung dalam pembentukan kerajaan, oleh itu, kerajaan berbentuk demokrasi disifatkan sebagai kerajaan rakyat. Sistem demokrasi ini diamalkan di kebanyakan negara di dunia pada hari ini.
Tamadun Yunani telah memperkenalkan Sukan Olimpik pada tahun 776SM. Pertandingan itu diadakan di Olympia. Pertandingan antara negara kota yang dibuat empat tahun sekali itu bertujuan menghormati Tuhan Zeus. Negara kota yang bersaing ialah Athens, Sparta, Corinth, Thebes, Olympia dan Argos. Perbezaan antara Sukan Olimpik asal dengan Sukan Olimpik moden adalah dari segi tujuan organisasi dan bilangan peserta sementara bilangan acara yang dipertandingkan pula tambah berlipat ganda.

Sistem Pemerintahan
Dalam tamadun Yunani telah wujud beberapa bentuk pemerintahan yang diamalkan oleh sesebuah negara kota. Bentuk pemerintahan tersebut mengalami pelbagai perubahan daripada monarki, oligarki, aristokrasi, diktator (tirani), dan akhirnya kepada demokrasi. Kewujudan pelbagai bentuk pemerintahan menunjukkan orang Yunani sentiasa berusaha meningkatkan aspek pemerintahan dan pentadbiran negara kota mereka.
Sebelum sistem demokrasi diperkenalkan, Athens mengamalkan sistem beraja. Dalam sistem ini, raja dibantu oleh sebuah badan yang dinamakan konsul. Raja berperanan sebagai ketua hakim, ketua tentera dan ketua agama. Apabila kuasa konsul menjadi kuat, peranan raja sebagai ketua hakim, ketua tentera dan ketua agama semakin merosot. Akibatnya, lahir sistem raja yang dipilih tetapi kuasany amat terhad. Ini adalah kerana dalam sistem ini pemerintahan dikuasai oleh konsul yang terdiri daripada orang kaya. Sistem pemerintahan oleh beberapa orang konsul seperti ini dinamakan oligarki. Daripada kalangan konsul ini lahir pula golongan aristokrat yang kuat. Mereka memiliki kuasa yang besar dan pemerintahan oleh golongan aristokrat ini dinamakan aristokrasi.
Akibat rasa tidak puas hati rakyat terhadap pemerintahan berbentuk aristokrasi, muncul pula golongan yang menuntut hak dan ini telah menyebabkan berlakunya rampasan kuasa. Keadaan ini telah membawa kepada pemerintahan berbentuk tirani oleh diktator. Biasanya, diktator bukan daripada golongan aristokrat tetapi daripada golongan kaya atau tentera. Walaupun rakyat biasa menyokong rampasan kuasa tersebut, tetapi tindakan itu telah ditentang oleh golongan aristokrat. Oleh itu, lahir pula sistem demokrasi.
Dalam sistem demokrasi terdapat Dewan Perhimpunan dan Majlis. Semua warganegara lelaki dewasa Athens diberi peluang menjadi anggota Dewan Perhimpunan antara 6 bulan sehingga setahun. Dewan Perhimpunan bersidang sebanyak tiga kali dalam sebulan dan setiap ahli Dewan ini boleh mengemukakan cadangan tentang dasar kerajaan. Segala keputusan Dewan dikendalikan oleh Majlis. Ahli Majlis, Majistret dan Juri dilantik oleh Dewan. Oleh itu, Dewan mempunyai kuasa penuh terhadap ketiga-tiganya. Walaupun sistem demokrasi diamalkan di Athens, tetapi sistem ini tidak berlaku di negara kota yang mengamalkan sistem beraja yang berkuasa mutlak.
Jika demokrasi diamalkan di Athens, di Sparta pula, sistem pemerintahan tentera telah diamalkan. Dengan ini sistem pertahanan telah diberikan perhatian yang penting. Anak lelaki dilatih dari awal untuk menjadi askar yang baik dan sistem latihan ini telah menjadikan Sparta berjaya melahirkan tentera yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi lagi handal.

Perundangan
Dalam tamadun Yunani, Dewan Perhimpunan berfungsi menggubal undang-undang. Kepentingan undang-undang diutarakan oleh Plato dalam bukunya Republic. Menurut Plato, negara harus diperintah oleh ahli falsafah kerana mereka cekap, terbaik, dan berupaya menggubal undang-undang.

Falsafah
Ahli falsafahialah manusia yang menggunakan akal untuk berfikir secara berterusan bagi mencari jawapan yang logik dan rasional terhadap persoalan yang berkaitan dengan kehidupan harian dan alam di sekitar mereka. Tamadun Yunani terus meningkat dengan kelahiran ahli-ahli falsafah seperti Herodotus, Socrates, Aristotle dan Plato. Dalam falsafah mereka, persoalan tentang nilai individualisme, kehidupan manusia dan demokrasi merupakan isu utama. Ahli-ahli falsafah Yunani mengajar manusia untuk berfikir secara rasional dan mengamalkan sikap ingin tahu.
Herodotus, ahli falsafah and ahli sejarah terulung yang menghasilkan karya, History of Persian Wars merupakan Bapa Sejarah.
Socrates ialah Bapa Falsafah barat. Beliau mencintai falsafah dan sering membincangkannya dengan sahabat dan pengikutnya. Socrates amat pakar dalam berbincangan melalui kaedah soal jawab. Beliau berusaha mencari unsur-unsur dalam kehidupan dan masyarakat bahagia. Beliau dituduh merosakkan pemikiran masyarakat dan telah dihukum bunuh dengan cara meminum racun. Antara pengikutnya termasuk Plato.
Maklumat tentang Socrates wujud dalam tulisan Plato. Plato menyedarkan masyarakat tentang perkara asas dalam falsafah Socrates.Perkara asas itu ialah persoalan tentang manusia dan masyarakat. Falsafah Plato ialah manusia yang sempurna merupakan masyarakat yang diperintah oleh ahli falsafah. Beliau mengasaskan akademi falsafah di Athens yang kekal selama 1000 tahun. Plato dalam karyanya, Republic, membincangkan bahawa sesebuah masyarakat dan negara paling baik diperintah oleh ilmuwan dan ahli falsafah.

Aristotle ialah murid Plato dan merupakan ahli falsafah yang berpengaruh. Beliau telah cuba mendalami idang sains dan falsafah. Hasil penerbitan beliau mengandungi ilmu logik, metafizik, sains tabii, astronomi dan geologi. Falsafah beliau adalah untuk membaiki dunia. Antara karya utama beliau termasuklah Politics. Aristotle yang menjadi guru kepada Alexander the Great pula dalam karyanya telah membincangkan cara berfikir yang teratur.

Perluasan kuasa
Di Yunani, bermula dari tahun 800 S.M. kegiatan penaklukan berjalan dengan rancak. Pada zaman pemerintahan Philip II dari Macedonia, kerajaan Macedonia dan Yunani telah disatukan. Usaha ini diteruskan oleh anaknya, Alexander  the Great, yang telah berjaya meluaskan lagi kawasan takluk Yunani apabila beliau menguasai Parsi,Mesir,Turkistan dan Samarkand. Akhirnya, seluruh kawasan Laut Mediterranean itu berada di bawah kekuasaannya.
Alexander the Great terlibat dalam penyebaran kebudayaan yang dikenali sebagai Hellenistik. Kebudayaan Hellenistik merupakan campuran antara kebudayaan Yunani dan Parsi serta kebudayaan timur yang lain. Kebudayaan Hellenistik ini tersebar dari kota-kota utama dalam empayar Yunani seperti  Syracuse di Itali,Iskandariah dan Antioch. Empayar Yunani berakhir dengan kematian Alexander the Great dan dengan kemunculan Rom.

Peningkatan ekonomi
Antara kegiatan ekonomi dalam tamadun awal manusia termasuklah bercucuk tanam,berternak binatang,dan menghasilkan barang untuk perdagangan. Pada tahap awal, kegiatan ekonomi yang paling utama ialah penanaman dan penternakan binatang yang bertujuan untuk menyara diri. Tetapi, apabila tamadun itu semakin berkembang dan diikuti dengan kemunculan bandar, kegiatan tersebut telah membawa penghasilan yang melebihi keperluan mereka sendiri. Hasil yang berlebihan itu dipasarkan dan ditukarkan dengan barangan perusahaan tempatan seperti barangan tembikar,peralatan memotong daripada logam, dan perhiasan yang terdapat di bandar.
Dengan meningkatnya tamadun manusia,beberapa perkembangan baru muncul di Yunani. Hampir semua negara kota memberikan tumpuan utama kepada aktiviti perdagangan kecuali Sparta semenjak kelahirannya pada abad kelapan Sebelum Masihi.Keadaan sedemikian wujud kerana keadaan muka bumi Yunani yang bergunung-ganang dan sesuai untuk pertanian. Terdapat peningkatan yang tinggi dalam perdagangan dengan kawasan luar terutamanya melalui jalan laut. Pada permulaannya, perdagangan hanya berlaku antara kawasan di pesisir pantai yang berhampiran seperti Mesir,Syria dan Phoenecia.
Akibat kekurangan tanah untuk pertanian,Athens and Corinth menghadapi masalah kekurangan makanan. Ini menyebabkan negara kota di Yunani terpaksa mendapatkan bahan makanan dari luar. Athens mendapatkan bekalan makanan dari kawasan di selatannya dan Laut Hitam. Athens juga menjadi pusat pengumpulan barang keperluan yang datang dari Timur.
Bagaimanapun, kegiatan perdagangan yang dijalankan di negara kota dikenakan cukai dan ini telah menyebabkan kenaikan harga barang. Kesannya, ramai rakyat Yunani berpindah ke tempat-tempat lain seperti Alexandria pada Zaman Graeco-Rom,iaitu pada tahun 300 S.M.. Zaman Graeco-Rom juga dikenali sebagai Zaman Hellenistik.Zaman ini merujuk pada penyerapan budaya Greek ke dalam masyarakat Rom.

Pendidikan
Dalam tamadun Yunani,khususnya di Athens,pendidikan bertujuan untuk melahirkan manusia yang seimbang pencapaiannya dari sudut rohani dan jasmani.Bagi orang Athens manusia yang cemerlang ialah manusia yang dapat memenuhi tuntutan mental dan fizikal.Oleh itu, pendidikan, sukan,muzik,kesusasteraan,seni berpidato,membaca,menghafal, dan menulis telah begitu dititikberatkan di Athens. Sementara itu, di Sparta,matlamat pendidikan adalah untuk melahirkan warganegara tentera yang sempurna,gagah, dan setia kepada negara kotanya.Oleh itu, pendidikan di Sparta lebih mementingkan latihan fizikal dan kemahiran menggunakan senjata berbanding dengan pendidikan mental.
Di Yunani,perkembangan pendidikan telah berlaku apabila banyak sekolah falsafah telah tumbuh dan berkembang di negara kota seperti Athens,Thebes ,Elea dan Miletus.Athens juga dikenali sebagai pusat cendekiawan Yunani yang penting semasa pemerintahan Pericles.

Sains dan teknologi
Tokoh matematik Yunani, iaitu Thales telah mengembangkan ilmu geometri Mesir Purba. Pythagoras yang memperkenalkan Teorem Pythagoras pula mengembangkan ilmu geometri Mesir Purba dan Babylon. Beliau telah mempelajari matematik Mesir dan Babylon serta mengasaskan gerakan saintifik dan bergelar Pythagorean.Sumbangan beliau dalam geometri ialah Teorem Pythagoras. Dalam tamadun Yunani juga terdapat beberapa orang lagi ahli sains yang terkenal seperti Hippocrates yang terkenal sebagai Bapa Perubatan dan Archimedes sebagai ahli matematik dan fizik. Hippocrates juga dianggap pakar dalam bidang anatomi. Namanya dikenang kerana kaitannya dengan profesion perubatan moden,iaitu Sumpah Hippocrates(Hippocrates Oath). Aspek utama yang disumbangkan oleh Archimedes ialah teorinya berhubung dengan isi padu air dan graviti.Ptolemy pula merupakan tokoh utama dalam bidang astronomi Yunani.Dalam tamadun Yunani,ilmu pelayaran juga telah meningkat dengan penciptaan layar yang lebih kuat dan perahu yang lebih besar.Penciptaan perahu layar telah meningkatkan aktiviti perdagangan laut dan menjadi alat pengangkutan penting dalam peperangan terutamanya pada zaman perluasan kuasa dan pembentukan empayar Rom.

Bahasa dan kesusasteraan
Sebelum bahasa Latin digunakan secara meluas semasa pemerintahan empayar Rom,bahasa Yunani telah digunakan terutama di wilayah dalam Yunani dan juga kawasan takluk Alexander the Great .Antara tokoh sastera Yunani yang terkenal termasuklah Homer dan Hesiod.Hesiod ialah penyair dan telah menulis dua buah buku puisi,iaitu Theology dan Works and Days, manakala Homer menghasilkan dua buah epic,iaitu Iliad dan Odyssey.Iliad dan Odyssey ialah kisah peperangan antara Achaea dengan Troy pada tahun 1184 S.M.Theology ialah ilmu tentang asal usul manusia dan ketuhanan.
Selain hasil sastera,aspek tulisan turut mengalami peningkatan.Tulisan yang kita warisi pada hari ini juga berasal daripada tulisan orang Phoenecia.Tulisan ini tersebar kepada orang Yunani pada tahun 800 S.M. Dalam tamadun Yunani,tulisan itu ditambah huruf vokal.Tulisan ini diubahsuai oleh orang Rom dan menjadi tulisan Rom dan tersebar ke Barat sehingga sampai kepada masyarakat Asia Tenggara dalam bentuk tulisan rumi.

Sistem sosial
Organisasi sosial masyarakat dalam tamadun Yunani di Athens membahagikan penduduknya kepada tiga kumpulan.Yang pertama ialah warganegara, yang kedua ialah penduduk bukan warganegara,dan yang ketiga ialah golongan hamba.Kumpulan pertama mempunyai hak dalam politik negara kota sementara golongan kedua dan ketiga tidak memiliki hak tersebut.
Di Sparta,terdapat tiga kelas sosial.Kelas pertama ialah warganegara Sparta tulen.Kelas kedua ialah para pekerja,artisan, dan pedagang manakala kelas ketiga ialah Helot yang mengusahakan tanah dan merupakan golongan majoriti.
Helot yang merupakan kelas ketiga memainkan peranan penting dalam ekonomi Sparta.Oleh sebab jumlahnya yang besar,kelas ini sentiasa menjadi ancaman kepada kelas pemerintah.Ini merupakan faktor utama mengapa system ketenteraan diamalkan.